glitter-graphics.com

Follower Cik Puan Stoberi

Monday, February 21, 2011

ALLAH BUAT YANG TERBAIK UNTUK KITA!!!


Malamni Yan berkesempatan menjenguk blog Dr.Azwan....
Yan suka baca blog Dr.Azwan sebab banyak info tentang kesihatan....dan kali ni Yan tertarik dengan satu artikel beliau...sebelum Yan berkongsi cerita Yan...baik kite baca dulu artikel yang telah ditulis oleh Dr.Azwan...


Salam,

Ramai pembaca yang memberitahu perasaan sedihnya kerana baru sahaja keguguran cahaya mata. Ada yang baru kahwin dan keguguran, ada juga yang sudah lama inginkan anak tetapi akhirnya keguguran. Tentulah perasaan sedih yang teramat sangat kerana mengalami keadaan tersebut.

Izinkan saya berkongsi pendapat saya di dalam hal ini.

Memang benar bahawa masalah keguguran ini banyak faktornya.

Apabila seseorang ibu mengalami keguguran, ada yang menyalahkan makanan. "Ini tentu sebab makan ayam penyet atau empel sapi kat Restoran Wong Solo, Kg Baru lah ni", kata suami si Polan apabila diberitahu isterinya baru sahaja mengalami keguguran.

Dalam budaya melayu ada yang menyalahkan buah-buahan atau sayur-sayuran. Yang paling popular ialah nanas kerana sifatnya yang tajam. Sejauh mana kebanarannya saya tidak tahu kerana tiada kajian saintifik dijalankan yang terhadap nanas. Maknanya, kalau puan-puan nak elakkan maka elakkan lah.

Saya pernah mendapat panggilan yang menyatakan bahawa beliau mengandung (luar nikah) dan ingin menggugurkan anaknya. Telah banyak kali cuba termasuk memakan nanas tapi tak berjaya, oleh itu dia mahu mencuba ubat pula. Seperti yang saya biasa jawab, saya tak buat itu semua sebab saya orang Islam. Nenas pada saya, cara yang paling tidak berkesan untuk menggugurkan kandungan.

Secara amnya, ada banyak sebab terjadinya keguguran. Trauma seperti jatuh motor atau kemalangan boleh menyebabkan keguguran, penyakit kronik seperti kencing manis, penyakit genetik atau autoimun, pintu rahim yang lemah, racun, ubat-ubatan, pembedahan ketika mengandung, demam tinggi akibat jangkitan kuman sehingga lah ke stress juga boleh menyebabkan keguguran.

Terdapat seorang sahabat saya yang bertugas sebagai doktor semasa houseman, beliau mengalami keguguran sebanyak 3 kali berturut-turut sepanjang bertugas. Akhirnya beliau terpaksa mengambil cuti ketika awal mengandung untuk mengurangkan stressnya. Alhamdulillah beliau selamat melahirkan zuriat.

Pada hakikatnya, menyalahkan sesuatu penyebab sebagai sebab utama keguguran adalah sukar kerana setiap individu manusia adalah unik penciptaannya.

Berbalik kepada masalah keguguran itu tadi. Allah menjadikan sesuatu perkara ada hikmahnya.

Allah menyebut di dalam firmanNya, "Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.", surah Al-Baqarah ayat 216.

Ayat ini membicarakan tentang Allah mengetahui tentang perkara yang tersirat dan tersurat. Di sebalik ujian yang diturunkan pasti ada hikmah disebaliknya. Yang penting kita berfikir tentang ujian ini dan bersabar.

Tahukah anda, bahawa 90% daripada fetus (anak) yang CACAT yang terbentuk di dalam rahim akan gugur? Ini termasuk penyakit genetik seperti Down's Syndrome. Maknanya, sekiranya fetus yang terbentuk itu tidak sempurna sifatnya, kurang genetiknya, cacat pembentukannya, maka kemungkinan tinggi ia tidak akan dilahirkan dan akan keluar sebagai keguguran.

Ini adalah hikmah yang besar tuan-puan. Cuba bayangkan kalau Allah membenarkan kesemua fetus yang cacat ini lahir ke dunia. Apakah yang akan berlaku? Sehinggakan yang sempurna pun Allah jadikan, ada yang dicampak di tong sampah menjadi makanan anjing, ulat dan semut.

Sudi saya mengingatkan di sini, sekiranya ada keguguran, maka ingatlah Allah selalu yang ini mungkin satu ujian daripada Allah dan pada masa yang sama ia adalah Rahmat Allah yang besar kepada manusia.

Allah tahu, sekiranya anak yang lahir itu tidak sempurna sifatnya, kita pasti akan tidak tertanggung ujian yang Allah beri. Oleh itu, di sebalik tangisan, kekecewaan dan kekesalan, adalah lebih baik berdoa agar diberikan Allah yang lebih baik dan sempurna.

Lagi satu, Apabila kita mengandung tetapi keguguran, ini menunjukkan bahawa puan-puan boleh mengandung dan tak mengalami primary infertility iaitu kemandulan. Ini terutamanya kepada mereka yang sudah kahwin bertahun-tahun tetapi belum mengandung. Maknanya, peluang puan-puan untuk menimbang cahaya mata masih ada. Ramai yang saya terjumpa sukar mengandung bertahun-tahun, tetapi selepas mengalami keguguran, beberapa bulan selepas itu, maka Allah mengurniakan sekali lagi peluang untuk menjadi ibu. Syukurlah...

Allah memberi ujian dan rahmatNya melalui banyak cara. Yang diuji dan teruji, pasti menerima ganjaran daripada Allah. Disebalik ujian pasti ada hikmah dari Nya.

Wallahu Alam.


Jadi...setelah Yan membaca artikel ni...Yan mula muhasabah diri sendiri...bahawa bersyukurnya Yan kerana Allah buat sesuatu yang terbaik untuk Yan....

Untuk pengetahuan kawan2, Kami telah berkahwin selama 6 tahun...tetapi masih belum dikurniakan zuriat....Alangkah seronoknya Yan bila melihat ahli keluarga, kawan2, dan sesiapa sahaja yang sedang mengandung dan mempunyai anak2 kecil...Namun, masih belum terdetik difikiran Yan untuk merasa kecewa....kami masih bersabar dan masih teruskan usaha...

Rezeki Allah tidak dapat dijangka...pada akhir November 2010, Yan disahkan doktor telah mengandung.  ketika itu kandungan masih lagi awal...iaitu baru 5 minggu....memang kami tak sangka dan sangat gembira...seluruh ahli keluarga dan teman2 turut gembira mendengar berita ini...apatah lagi suami Yan...  

Namun, kegembiraan kami akhirnya telah diduga sekali lagi...Yan mengalami pendarahan teruk dan akhirnya keguguran di saat kandungan mencecah 3 bulan setengah....hanya Allah yang tahu betapa sedihnya hati kami...sedihnya hati Yan....sedihnya hati keluarga...impian untuk memiliki cahaya mata kali ini tidak kesampaian...daripada pemeriksaan doktor, kandungan Yan sudah keluar habis ketika Yan mula2 mengalami pendarahan...ketika itu Yan berada di dalam toilet...memang tak nampak janin tersebut....kerana semuanya dah termasuk dalam mangkuk tandas...

Alhamdulillah, doktor cakap Yan tak perlu jalani sesi D&C....doktor nasihatkan Yan berehat dan berpantang macam biasa....ketika blog ni ditulis....Yan masih dalam tempoh berpantang...biasanya orang yang keguguran, tempoh berpantang lebih kurang 2 minggu...tapi Alhamdulillah, Kak Long, suami dan keluarga menyarankan agar Yan berpantang macam orang lepas bersalin...ini juga ada kebaikkannya agar tubuh badan kita menjadi lebih sihat dan bertenaga...Yan menjalani sesi urutan seluruh badan, bertungku, bengkung dan pemakanan jamu untuk mengecutkan rahim dan melancarkan pengaliran darah dalam tubuh badan...buat masa sekarang Yan cuba kuatkan diri untuk tidak minum air sejuk, air gas berkabonat dan tidak mengambil makanan yang sejuk dan berangin....

Nasihat Yan, selalulah bertanya pada orang yang lebih arif dan banyakkan membaca dan mencari sumber maklumat...sekarang Yan redha dengan ketentua Allah...mungkin ada hikmah disebalik kejadian ini...dan Allah akan menggantikan sesuatu yang lebih baik dari sebelum ini...

Alhamdulillah, sekarang Yan  dah semakin sihat, ceria dan bertenaga....yan juga dapat menjalankan tugas sebagai pendidik dan isteri kepada suami Yan...Syukur Ya Allah!!!...moga Yan diberi kesempatan untuk mengandung kali ketiga....(lupa nak inform, keguguran ini merupakan keguguran yang kedua, sebab keguguran yang pertama berlaku pada awal tahun 2007>>>>masa tu Yan tak tahu pon Yan mengandung....sehinggalah mengalami pendarahan yang teruk...dan doc sahkan Yan keguguran ketika itu....)


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...